Progress.


Lama juga menghadap ketidakselesaan pada awal kehamilan kali ini. Namun begitu, seminggu kebelakangan ini badan rasa lebih kuat berbanding sebulan lepas. Sekarang, cuma perlu melayan rasa mual dan perut berangin yang tak sudah-sudah.

Selasa lepas, berjaya juga membuka buku rekod kehamilan. Sewaktu imbasan, nampak budak yang tak diam. Tangan kaki yang baru nak panjang terkapai-kapai. Jenuh juga Dr. Sariah menunggu waktu sesuai untuk dipegunkan gambar, supaya dapat ditentukan saiz. Hasilnya, terkini tarikh jangkaan bersalin dianjakkan awal seminggu dari tarikh jangkaan asal. Dari hujung bulan 10 ke minggu ketiganya.

Pemeriksaan seterusnya, pertengahan bulan hadapan. Perlu ambil darah segala. Perlu cutilah saya. Tapi tidak mengapa. Memang banyak pun cuti berbaki. Pengurus bahagian sudah pesan, habiskan sehingga sebelum bersalin.

Mak meneka-neka. Yang keempat ini perempuan kerana Cik.Airis suka membuat perangai. Biasanya, kalau begitu, adik dalam kandungan itu sama jantina dengan kakaknya. Saya kira mak tak mahu saya menaruh harapan tinggi untuk seorang lelaki selepas 3 perempuan. Ataupun, mak sebenarnya menyedapkan hati sendiri? Mengharapkan cucu lelaki sementelah kesemua cucu-cucunya perempuan belaka! Mungkin...

Kerja semakin bertenang. Saya tidak lagi pulang lewat ke rumah. Tapi kalau dah mula hari pun lambat, waktu maghrib juga baru tiba ke rumah. Saya berazam untuk masuk pejabat seawal 7:30 pagi selepas ini!

Hal lain, Cik.Aira sudah memulakan kelas mengajinya hujung minggu lepas. Kelas 2 hari seminggu, 2 jam setiap kali. Hantar bersama-sama Cik.Aish. Tapi, kami belum pastikan samada Cik.Aish akan mengikut kelas ini. Namanya belum didaftarkan, tetapi pengurus program beri dia ruang mencuba. Saya akan tunggu penilaian ustaz pengajar. Kalau nyata dia boleh mengikut sebagaimana kakaknya, akan kami kekalkan. Sebaliknya, tahun depan sahaja kami daftarkan pula.

Saya banyak tidur. Tidur kerana keletihan. Berpunca dari kehamilan, mungkin. Muka dan mata kelihatan sembap.

Tidak mengapa. Asal sahaja semuanya OK!


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS