Ada ujian di penghujung sesi hari ini.
Ujian wajib lulus demi sekeping sijil.
Sijil pula bakal ditanda tangani oleh 'big shots' syarikat yang beribu pejabat di German sana.
Saya tidak tahu apa gunanya untuk saya sekarang.
Entah kenapa saya rasa kurang yakin semula dengan perjalanan karier saya di sini.
Tapi, saya juga kurang pandai menilai kualiti diri untuk 'dijual' di pasaran luar.
Hrm..
Tidur sebentar di dalam kereta di padang parkir berbayar di hadapan bangunan pejabat.
Terlalu mengantuk.
Walaupun training di PJ Hilton akan bermula jam 10, sengaja saya tiba awal.
Boleh masuk pejabat dahulu, dan selesaikan mana-mana kerja tertunggak.
Oh, sambung tidur 'sepam' lagi.
Terlalu mengantuk.
Hari ini jadual kerja saya penuh.
Walau serapi mana perancangan saya di awal hari, mesti lari bilamana pengurus bahagian suka bagi kerja-kerja ASAP. Kadang-kadang, disuruhnya saya follow-up escalations dari luar. Ada pula masa menggantikan dirinya dalam mesyuarat-mesyuarat yang dia kira cukup jika sekadar menghantar penyelia sahaja. Ada juga masa, dia skype saya, "Leng Loi. Can you mari sini sekejap?", sekadar untuk bertanya, "Daily Productivity Report has been done aa??". Macamlah soalan itu tidak boleh di skype sekali tadi. Menangani perangainya yang satu ini, memang saya perlu tanam sabar dalam-dalam.
Hari ini, pagi-pagi lagi diberinya kerja ASAP meminta saya menyediakan phone mapping dan seating arrangement untuk bahagian kami yang akan berpindah tingkat minggu hadapan. Jam sudah pukul 10. Dia mahukan sebelum rehat tengahari. Saya yakin masih boleh mencelah waktu.
Setengah jam kemudian, ditariknya tangan saya bangkit dari tempat duduk.
"Ke mana?"
"Interview. You free or not? Nevermind. A while only."
Saya diam menurut. Tidak sempat pun jawab apa-apa.
Sesi seramai 6 orang, selesai dalam masa 2 jam. "A while" sungguh!
Entah kenapa, 2 daripada calon yang hadir, ada kisah yang hampir serupa. Kedua-duanya immediate availability. Masing-masing berhenti kerja di syarikat sebelum ini kerana seorang mahu menumpukan perhatian untuk menjaga ibu yang sakit dan lagi seorang, menjaga bapa yang sakit. Kesudahannya, kedua ibu dan bapa mereka ini meninggal dunia. Hanya setelah meninggal dunia, baru mereka kembali mencari kerja yang baru.
Kedua-dua ini betul-betul membuat saya berfikir.Tiba-tiba saya rasa malu dengan diri saya sendiri. Saya tahu yang saya akan berkira-kira mahu berhenti kerja andai kata kadar kesihatan mak merudum sehingga perlu saya untuk menjaga hal ehwal segala. Sungguh rasa kecut hati bila memikirkan, bagaimana mahu melunaskan komitmen-komitmen bulanan saya yang meluakkan lebih separuh gaji bulanan saya.
Saya sangat kagum dengan kedua mereka. Memberi tamparan dan pengajaran untuk saya di Sayyibul Ayyam ini.
Untuk sekali ini, saya bersyukur Tuhan gerakkan hati pengurus saya untuk menarik tangan saya bagi menyertainya dalam sesi temuduga kali ini.
Kedua mereka tadi telah disenarai pendek. InsyaAllah, salah seorang darinya akan ditawarkan untuk bertugas di bahagian saya minggu hadapan. Lagi seorang, kami letak status Highly Recommended agar kekosongan yang ada di mana-mana bahagian lain akan membuka rezeki untuknya.
Terima Kasih!
(dari kiri)
"Ini Aish, ini Kakak, ini Ibu, ini Airis, dan ini Babah. Ini pula rumah kita." kata cik.aira bagi penjelasan pada hasil lukisannya.
"Ini awan apa dekat sangat dengan rumah?" saya menduga.
"Ini asaplah!"
"Eh! Rumah kita terbakar?! Bahaya ni!!"
"Ibu ni! Kakak konon-konon je lah nak ada rumah ada keluar asap macam dalam tv tu."
"Owh, ingatkan terbakar tadi."
Tarik muka merajuk.
Hahaha!