Perubahan

Sejak pulang dari Jepun awal Februari lepas, ada beberapa perkara penting yang berlaku.

Dari segi karier, saya sudahnya diarahkan pihak pengurusan untuk berpindah bahagian. Kata Pengurus bahagian saya, dia tidak boleh berkata tidak kepada pihak pengurusan kerana itu akan menafikan semangat kerja berpasukan yang menjadi pegangannya (?). Katanya lagi, dia akan berasa sangat-sangat kehilangan saya lebih-lebih lagi apabila masih terlalu banyak "silibus" yang mahu diturunkan kepada saya. Tambahnya lagi, dia akan pastikan untuk terus menyokong dan membantu saya pada bila-bila masa saya perlukan. Pada awalnya, saya anggap dia ikhlas dalam menyatakan apa yang dikata.

Namun, seminggu selepas secara rasmi saya melapor diri kepada pengurus baru, bekas pengurus saya seakan mula membina benteng dan sedikit demi sedikit dia mula menggugat kepercayaan saya dalam keikhlasan kata-katanya sebelum ini. Dia terus-terusan mencari pasal dengan pengurus baru saya yang mana secara tidak langsung memberi kesan kepada kelancaran kerja-kerja saya.

Dia mula dengan perangai "mencuri" staf pasukan saya untuk bahagian dia. Staf ini, yang kami sedang siapkan untuk persediaan projek seterusnya ke Jepun bulan Mei ini. Dia senang-senang mengeluarkan arahan agar berpindah bahagian kerana dia lebih memerlukan, sedangkan saya tahu sahaja yang dia tidaklah sekritikal itu mahu menggunakan orang baru. Pengurus bahagian saya menawarkan orang baru yang akan on-board pada 18hb ini tapi pada mulanya dia menolak dengan alasan, pengurus bahagian saya sepatutnya lebih bertolak ansur dalam pembahagian man-power mengikut keperluan syarikat.

Nasib baik pengurus bahagian saya berjaya mempertahankan staf kami itu. :)

Buat masa ini, saya dihimpit stabilization period, jangkamasa kritikal untuk memastikan peralihan kerja-kerja yang dibawa dari Jepun berjalan lancar apabila dilaksanakan di Malaysia. Keadaan kesihatan yang tidak begitu memihak kepada saya, memberi tekanan yang berlebihan. Banyak perkara tertunggak. Namun pihak pengurusan Jepun sangat memahami kesusahan saya dan berkali-kali berpesan kepada pihak pengurusan Malaysia agar ringankan beban saya sebelum memberi impak kepada projek seterusnya.

Mujur bantuan telah diuruskan, walaupun saya termasuk hari ini telah 3 hari tidak boleh ke pejabat, saya yakin tiada masalah yang serius.

Dari sudut kekeluargaan pula, kami "mungkin" akan menambah bilangan ahli keluarga.

Mungkin saya terpaksa kata..

Terlalu banyak keraguan dan persoalan dalam kehamilan ini. Perasaannya berbeza. 3 kali menjalani imbasan ultrasound tapi tiada yang meyakinkan. Doktor minta tunggu lagi 2 minggu bagi terus memantau perkembangan janin.

Saya gusar, namun tetap redha dengan segala ketentuan.
Baik dan buruk kesudahannya, saya akan terima sudah tentu.
Tapi perasaan tetap gusar.
:(

Keseluruhannya, saya dalam fasa penuh cabaran. Baik di tempat kerja dan dengan kehamilan ini.
Harapnya semua akan tabah saya lalui.

Amin.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS