Kelahiran.Aidh

Saya kira kisahnya bermula pada Jumaat, 11 Oktober 2013 lalu. Saya ke Hospital Putrajaya untuk menghadiri temujanji terakhir sebelum tarikh 16 Oktober 2013. Tarikh saya dijangka bersalin dengan cara induction. Ini berikutan keputusan BSP yang agak tinggi seminggu sebelumnya sehingga doktor berkeputusan untuk saya memulakan suntikan insulin. Bila sudah mula suntikan insulin, saya perlu melahirkan bayi pada minggu ke-38 kehamilan.

Pagi Jumaat itu, doktor mengubah keputusan.

"Result tak cantik jugaklah. Tak payah la tunggu 16 haribulan. Saya admit awak ke wad hari ini. Kita stabilkan gula, lepas tu induce je."

Petang, selesai urusan kemasukan ke wad 2A. Tengah malam itu, doktor pakar panggil ke bilik prosedur untuk melakukan imbasan terhadap kandungan.

"Eh, Puan. Besar dah la baby ni. Saya estimate ada 4kg dah. Saya tak berani nak bagi proceed untuk deliver normal. Takut sangkut bahu. Kita ceaser je lah. Saya masukkan nama puan untuk operate pagi Isnin ni."

EH???

Saya sudah mula cemas. Saya tidak jangkakan ini. Terakhir saya melalui pembedahan adalah semasa melahirkan Cik.Aira. Emergency setelah bukaan hanya 5cm selepas 24 jam pecah ketuban. Mula terbayang azab pemulihan selepas pembedahan. Hati sudah kecut.

Sabtu dan Ahad, saya menenangkan diri. Ahad malam, saya diminta berpuasa bermula jam 12 tengah malam. Pagi jam 6, misi mengejutkan saya bangun untuk mandi dan bersiap. Misi juga meminta saya menelefon En.Eid untuk tiba ke hospital jam 7 pagi. Nama saya dijadualkan yang pertama untuk dibedah pada hari Isnin itu. 

Berdebar sungguh!

En.Eid tiba tepat jam 7 pagi. Saya sudah siap mandi, diminta mengenakan persalinan ke bilik pembedahan. Jam 7:30 pagi, 2 orang misi menyorong saya ke bilik pembedahan, diiringi En.Eid. Tiba di bilik persediaan, doktor bius datang menyapa dan memberikan penerangan mengenai prosedur pembiusan epidural, kesannya, back-up plan sekiranya pembiusan separa badan itu gagal. 

"Doctor."

"Yes."

"I am in good hands, kan?"

"Certainly you are! Worry not."

"You better do it right, the first time. I had bad experience on my last epidural."

"I will, trust me."

Dia senyum. Saya masih belum boleh senyum. Saya tau muka saya ketat sangat semasa itu. =|

Jam 8:00 pagi, saya disorong lagi. Kali ini ke bilik pembedahan. Saya sempat lihat nombor bilik "5" terpampang di atas pintu. Di dalam bilik pembedahan, saya diterangkan lagi dengan prodesur pembedahan. Sementara itu, tangan kiri sudah dimulakan drip air. Kemudian, diminta duduk untuk dimulakan posedur epidural. Sebagaimana dijanji dan diizinkan Tuhan, prosedur epidural berjalan lancar. Doktor memaklumkan setiap langkah yang akan dilakukan, maka saya bersedia secara mental. Sungguh saya berterima kasih.

Selesai prosedur epidural, saya dibaringkan kembali. Kali ini menunggu kesan epidural ke atas saya pula. Doktor bius mula bersembang dengan saya, bertanyakan samada saya selesa atau pun tidak. Sementara itu, pakar bedah mula mencucuk-cucuk perut saya, tapi saya tidak merasakan apa-apa. Namun dapat saya lihat dari refleks cermin lampu di atas saya. Walaupun rabun, saya nampak jelas apa yang dilakukan pakar bedah.

Ah, sudah!

Bagaimana pula nanti kalau saya nampak dia menoreh bahagian bawah rahim saya? Mampukah saya menonton itu. Muka mula berkerut.

"Puan OK?"

"Saya nampak perut saya yang nak kena potong ni kat cermin lampu tu."

"Oh, nak saya pakaikan goggle yang berkabus tak?"

"Hah? Eh, takpe lah.. Takut lemas pulak. Nanti saya hala je la muka ke lain."

"Sure? Takpe. Saya naikkan sikit tirai ni."

Dia naikkan tirai hijau tapi tak membantu sangat. Saya masih boleh melihat cermin itu. Maka saya palingkan saya muka dari melihat cermin. Awal pembedahan saya masih boleh bertahan, tapi sampai satu masa saya rasa nak tengok sangat!

Saya pandang ke cermin, dan lihat potongan perut yang sudah terbuka dan merah sahaja di dalamnya, Saya kira dinding rahim saya sudah dipotong pada masa itu. Tak lama, saya mula rasa pitam dan pening. Serentak itu juga doktor bertanya keadaan saya.

"Puan rasa pitam?"

"Ha ah."

Saya tidak tahu sangat apa terjadi selepas itu kerana saya menumpukan kepada rasa pening, tetapi satu lagi drip dimasukkan ke tangan kanan saya.

Tidak lama, dan saya rasa kembali OK.

Saya mula rasa tangan menyeluk ke dalam rahim saya dan kemudiannya...

"Baby is out! Baby is out!"

Saya dengar suara tangisan. Saya meminta baby dibawa kepada saya.

"Kita bersihkan dulu ya, Puan."

Saya angguk.

5 minit...

"Puan, ini baby Puan. Confirmkan jantina."

"Lelaki."

"Confirmed?"

"Eh, tak ke?" saya kecilkan mata kerana tidak berkacamata pada masa itu.

"Betul la, lelaki." Misi gelak-gelak. 

Aih? Bergurau pulak?

"Berapa berat dia?"

"3.08kg."

"Hah?? Serius??"

"Betul Puan. 3.08kg."

"Isk, besarnya 3.08kg sampai nak kena operate."

Sempat saya merungut atas meja pembedahan dan disambut gelak ketawa doktor dan misi-misi.

"Tapi air ketuban Puan sangat banyak! Sebab tu dia bagi estimation yang tak tepat masa ultrasound."

Jelas doktor. Saya mengangguk faham. 

Proses menjahit mengambil masa yang agak lama. Seperti biasa, rahim saya lambat mengecut.Komplikasi sebegini sudah saya jelaskan kepada doktor. Saya pernah mengalami PPH semasa melahirkan Cik.Aish sehingga dimasukkan darah 2pint. Kali ini, saya kehilangan 800ml darah. Agak banyak tapi tidak sehingga tahap memerlukan darah tambahan.

Selesai pembedahan, saya disorong ke bilik persediaan untuk dibawa kembali ke wad. Baby dibawa ke NICU untuk dipantau tahap gula dalam badannya, dikhuatiri ada hypoglycemia atau kandungan gula rendah dalam darah.

Petang Isnin, jam 7:00 malam, akhirnya saya ditemukan semula dengan baby.

"Baby tiada masalah Puan. Semua OK!"

Misi menjelaskan.

Saya di hospital sehingga Rabu kerana perlu berada 48 jam di bawah pengawasan pihak hospital. Sakit pembedahan sangat kurang terasa kali ini berbanding dahulu. Kata doktor ia adalah kesan morfin yang disuntik sekali semasa pembiusan epidural. Morfin akan menyembunyikan rasa sakit sehingga 2-3 hari. Ini untuk mengurangkan rasa trauma pesakit untuk bergerak kerana sakit di bahagian pembedahan.

Pada saya, sangat membantu. Petang yang sama selepas melahirkan, saya sudah bangun sendiri ke bilik air membersihkan diri. Walaupun terbongkok-bongkok mengampu perut, saya masih boleh berjalan sendiri. Berbeza pengalaman melahirkan Cik.Aira, mahu melangkah 3 tapak ke bilik air, berjurai-jurai air mata saya tumpah kerana menahan sakit. (T_T)

Kini, 19 hari selepas kelahiran En.Aidh. Pemulihan saya boleh dikatakan cepat, dan En.Aidh juga tiada masalah kecuali jaundis pada hari ke-3 sehingga ke-7 kelahirannya.

Syukur!

=D


Posted via Blogaway

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "Kelahiran.Aidh"