Sepertimana yang telah disampaikan Dr. Sariah sebelum ini,
"Kalau Hb awak jatuh bawah 9, saya refer terus ke hospital tau."
Maka itulah yang terjadi. Keputusan ujian darah Isnin lepas telah diketahui dan dibincangkan. Bacaan saya agak rendah untuk minggu kehamilan ke-22.
Untuk rekod sendiri, sebelum ini pemindahan darah dilakukan pada minggu ke-37 semasa mengandungkan Cik.Aish apabila bacaan jatuh ke 7.7, dan minggu ke-33 semasa mengandungkan Cik.Airis apabila bacaan semasa itu ialah 8.8.
Saya baru di minggu ke-22, tapi bacaan saya hampir menyamai bacaan semasa mengandung Cik.Airis pada minggu ke-33, jadi ada kemungkinan untuk bacaan jatuh lebih lagi pada minggu-minggu mendatang. Makanya Dr. Sariah menyarankan agar saya ke Hospital Putrajaya dan mendapatkan pandangan pakar di sana pula.
En.Eid sudah mengarahkan agar kain baju dikemas. Seandainya doktor di Hospital Putrajaya menasihatkan agar pemindahan darah dilakukan, tidak perlu kami berulang-alik ke rumah lagi untuk menyiapkan kain baju.
Oh, malasnya.
Rasa masih baru lagi berumahtangga di dalam wad. Saya betul-betul keberatan untuk mengabiskan lagi 3-4 hari lagi di dalam wad hospital.
Rasa tak best.
=(
Menikmati cuti hujung minggu lepas di Janda Baik, Pahang. Bersama-sama Boboy dan keluarga, Linda, dan Mak juga. Saya tidak pernah tiba di sini. Apabila En.Eid menyuarakan mahu ke Janda Baik, saya setujukan sahaja. Tidak pernah selama ini, semasa saya hamil, menyuarakan mahu ke tempat-tempat berhutan, malahan menegah keras. Tapi kali ini, lain pula.
Tapi saya suka! Makanya tanpa banyak soal, saya bersetuju.
Jumaat malam, selepas seharian mencari "chalet" / "homestay" yang sesuai untuk 6 dewasa, dan 5 anak-anak kecil untuk menginap pada Sabtu malam Ahad, kami akhirnya memilih Pondok Impian Resort.
Kami menginap di "Nora Suite", pada kadar RM280.00 semalam. "Suite" berbilik satu. Tersedia katil "king size" dia ruang hadapan dan katil "queen size" di dalam bilik. Dilengkapi penghawa dingin dan kipas di kedua-dua ruang, TV beserta Astro. Cukup selesa untuk memuatkan kami semua. Pada hari yang sama, Pondok Impian agak penuh kerana ada hari keluarga yang mendominasi sebahagian besar ruang "resort". Meriah sungguh dengan aktiviti-aktiviti hari keluarga tersebut.
Kami menghabiskan petang mandi di sungai dalam 10 minit berjalan kaki mendaki dari Pondok Impian. Sengaja berjalan jauh sedikit mencari lokasi sesuai untuk anak-anak. Mak dan saya hanya memerhati dari tepi sungai sahaja. Saya tak berani nak berjalan masuk kerana menurut En.Eid batu-batu sungainya agak licin. Bimbang saya tersalah langkah.
Ada sejam setengah memerhati, sehingga budak-budak menggigil kesejukan. Cik.Airis sampai biru bibir! Cik.Aish pula,masuk sekejap, dah mengadu lapar.
Selesai mandi sungai, berehat-rehat di bilik sehingga malam. Saya, Mak, En.Eid dan Cik.Aish keluar semula mencari makan malam. Kami ke Santap Restaurant dan "tapau" bawa balik bilik. Bila ramai anak-anak kecil ini, rasa tak sesuai nak mengangkut semua untuk makan di luar. Tambahan hari hujan, walau sekadar rebas.
Esok paginya, menggigil juga bagun tidur. Walaupun tidur hanya berkipas. Untuk seketika, "resort" rasa aman. Kembali meriah apabila keluarga besar semalam meneruskan aktiviti hari keluarga mereka pada hari itu. Saya, Mak dan Linda keluar mencari sarapan pagi. Kami memilih untuk berhenti di mana-mana kedai / gerai terdekat. Ada sebuah di simpang berhampiran jambatan batu, dalam 5 minit memandu dari Pondok Impian.
Mak dan Linda berkira-kira, "Sedap ke tak? Sedap ke tak?"
Sudahnya saya mencadangkan, "Makan sini dulu sepinggan. Nasi lemak ke, Pulut ke. Kalau sedap, kita beli. Kalau tak, kita cari kedai lain."
Mak dan Linda setuju.
Kami ambil nasi lemak, pulut inti kelapa, kuih kacang, kuih karipap dan apam pisang. Saya pesan teh panas, Linda minum kopi o panas.
Mujur kesemua yang dicuba menepati selera kami. Saya punya sukakan teh panasnya, terus pesan ke Mak untuk "order" bungkus bawa balik bilik. Mak tak perlu bancuh air teh lagi.
Selepas sarapan, kami keluar "menjelajah" Janda Baik. Pusing-pusing lihat kampung orang. Tapi tak ramai orang, mungkin kerana pagi hari Ahad, tak ramai yang beraktiviti di luar rumah. En.Eid keluar dengan misi mencari "Batu Janda Baik Nombor 1". Berjaya jumpa, terus berhenti ambil gambar. En.Eid mahu teruskan misi kalau keluar bercuti kemana-mana, mahu cari "Batu Nombor 1".
Sebelum pulang ke bilik, En.Eid membawa anak-anak ke sungai berendam lagi. Kali ini, di lokasi betul-betul hanya menyeberang jalan Pondok Impian. Dalam seminit dua berjalan kaki. Tak lama berendam kali ini, kerana sudah mahu bersedia untuk "check out". Itupun Mak sudah minta untuk keluar lambat dalam pukul 2:00 PM.
Selepas keluar, kami mencari makan tengahari pula sebelum masing-masing pulang. Makan tengahari di Warung Minang Sri Selera. Nasi putih, berlaukkan sup tulang, telur dadar, ulam-ulam dan ikan masin. sup tulang yang memang sedap! Banyak rempah agaknya, keruh betul air supnya.
Tiba di rumah, dalam jam 5:00 PM.
Letih, tapi puas kerana berjaya ke tempat baru. Mungkin ini akan menjadi satu-satunya trip keluarga tahun ini, kerana saya tak rasa akan berjalan jauh kemana-mana lagi sepanjang kehamilan ini. Perlu bersedia untuk ujian-ujian darah yang akan memungkinkan saya ditahan di wad untuk urusan pemindahan darah pula. Sejarah lepas, dalam kehamilan minggu ke-30.
Masih menaruh harapan agar saya tidak melalui itu semua.
Dah masuk bulan Jun, tapi saya nak cerita kisah-kisah kejadian di bulan Mei.
Sepanjang bulan Mei, ada 5 hari sahaja yang saya bekerja. Minggu awal, saya pulang ke Dungun meraikan PRU13. Ya, saya meraikan sahaja. Tidak membuang undi pun. Ini kerana "timing" PRU13 memang pada masa saya pulang ke Dungun setiap tahun. Pada cuti Golden Week di Jepun. Makanya, rezeki En.Eid yang dapat mengundi tahun ini.
En.Eid pula malam terakhir bulan April, ditimpa kemalangan di depan pintu rumah. Tersadung sehingga menyebabkan jari kecil kaki kirinya patah. MC sepanjang bulan Mei.
Selepas pulang dari kampung, pertengahan bulan Mei, saya dimasukkan ke hospital akibat denggi. Sehari selepas saya didaftar masuk, Cik.Aira turut serta hari berikutnya. Juga kerana disyaki denggi. Platlet saya, walaupun tidak begitu rendah, tetapi ada kuman denggi yang bertindak balas dalam ujian darah. Berbeza dengan Cik.Aira, walaupun tiada kuman denggi yang dikesan, bacaan platletnya sehingga bawah 100,000 mcl (per microliter) menyebabkan doktor mendiagnosnya sebagai demam denggi juga. Seminggu kami anak-beranak berkampung di Nilai Medical Center, dengan tambahan seminggu MC untuk rehat di rumah. Kesan demam denggi, seminggu di rumah itu memang saya tak berdaya buat apa-apa. Untuk bangun berjalan dari ruang tamu ke bilik air dalam 20 tapak pun sudah sangat melelahkan. Kata doktor badan memang akan menjadi sangat letih. Mujur kandungan selamat dan bergerak aktif.
Selesai episod denggi, 27 haribulan baru saya masuk ke pejabat. Itupun sudah masuk minggu terakhir bulan Mei.
Menghadap kerja tertunggak 2 minggu, memang azab dibuatnya. Mana nak menjawab isu-isu projek yang masih dalam "stabilization period" lagi, dan menyediakan staf untuk projek berikutnya pula. Bertindan-tindan "due date" saya untuk menyempurnakan setiap tugasan.
(>_<)
Berkenaan kandungan, alhamdulillah hampir separuh jalan sudah. Rabu ini saya akan masuk minggu ke-20. Terakhir semasa pemeriksaan, dia sihat dan aktif berpusing-pusing. Sehingga sukar doktor mahu mencari sudut sesuai untuk diambil ukuran.
Sepatutnya, pada pemeriksaan lepas saya perlu menjalani beberapa ujian darah untuk pemeriksaan piawai kehamilan. Tapi, oleh kerana saya masih di tahap pemulihan dari denggi, doktor tunda ke bulan ini. Pesan doktor, kalau kiraan Hb saya jatuh bawah dari 9.0 gm/dl, saya akan dirujuk ke hospital untuk pemindahan darah.
Harapnya kiraan 9.0 ini akan kekal sehingga saya melahirkan.
Amin.