Menikmati cuti hujung minggu lepas di Janda Baik, Pahang. Bersama-sama Boboy dan keluarga, Linda, dan Mak juga. Saya tidak pernah tiba di sini. Apabila En.Eid menyuarakan mahu ke Janda Baik, saya setujukan sahaja. Tidak pernah selama ini, semasa saya hamil, menyuarakan mahu ke tempat-tempat berhutan, malahan menegah keras. Tapi kali ini, lain pula.
Tapi saya suka! Makanya tanpa banyak soal, saya bersetuju.
Jumaat malam, selepas seharian mencari "chalet" / "homestay" yang sesuai untuk 6 dewasa, dan 5 anak-anak kecil untuk menginap pada Sabtu malam Ahad, kami akhirnya memilih Pondok Impian Resort.
Kami menginap di "Nora Suite", pada kadar RM280.00 semalam. "Suite" berbilik satu. Tersedia katil "king size" dia ruang hadapan dan katil "queen size" di dalam bilik. Dilengkapi penghawa dingin dan kipas di kedua-dua ruang, TV beserta Astro. Cukup selesa untuk memuatkan kami semua. Pada hari yang sama, Pondok Impian agak penuh kerana ada hari keluarga yang mendominasi sebahagian besar ruang "resort". Meriah sungguh dengan aktiviti-aktiviti hari keluarga tersebut.
Kami menghabiskan petang mandi di sungai dalam 10 minit berjalan kaki mendaki dari Pondok Impian. Sengaja berjalan jauh sedikit mencari lokasi sesuai untuk anak-anak. Mak dan saya hanya memerhati dari tepi sungai sahaja. Saya tak berani nak berjalan masuk kerana menurut En.Eid batu-batu sungainya agak licin. Bimbang saya tersalah langkah.
Ada sejam setengah memerhati, sehingga budak-budak menggigil kesejukan. Cik.Airis sampai biru bibir! Cik.Aish pula,masuk sekejap, dah mengadu lapar.
Selesai mandi sungai, berehat-rehat di bilik sehingga malam. Saya, Mak, En.Eid dan Cik.Aish keluar semula mencari makan malam. Kami ke Santap Restaurant dan "tapau" bawa balik bilik. Bila ramai anak-anak kecil ini, rasa tak sesuai nak mengangkut semua untuk makan di luar. Tambahan hari hujan, walau sekadar rebas.
Esok paginya, menggigil juga bagun tidur. Walaupun tidur hanya berkipas. Untuk seketika, "resort" rasa aman. Kembali meriah apabila keluarga besar semalam meneruskan aktiviti hari keluarga mereka pada hari itu. Saya, Mak dan Linda keluar mencari sarapan pagi. Kami memilih untuk berhenti di mana-mana kedai / gerai terdekat. Ada sebuah di simpang berhampiran jambatan batu, dalam 5 minit memandu dari Pondok Impian.
Mak dan Linda berkira-kira, "Sedap ke tak? Sedap ke tak?"
Sudahnya saya mencadangkan, "Makan sini dulu sepinggan. Nasi lemak ke, Pulut ke. Kalau sedap, kita beli. Kalau tak, kita cari kedai lain."
Mak dan Linda setuju.
Kami ambil nasi lemak, pulut inti kelapa, kuih kacang, kuih karipap dan apam pisang. Saya pesan teh panas, Linda minum kopi o panas.
Mujur kesemua yang dicuba menepati selera kami. Saya punya sukakan teh panasnya, terus pesan ke Mak untuk "order" bungkus bawa balik bilik. Mak tak perlu bancuh air teh lagi.
Selepas sarapan, kami keluar "menjelajah" Janda Baik. Pusing-pusing lihat kampung orang. Tapi tak ramai orang, mungkin kerana pagi hari Ahad, tak ramai yang beraktiviti di luar rumah. En.Eid keluar dengan misi mencari "Batu Janda Baik Nombor 1". Berjaya jumpa, terus berhenti ambil gambar. En.Eid mahu teruskan misi kalau keluar bercuti kemana-mana, mahu cari "Batu Nombor 1".
Sebelum pulang ke bilik, En.Eid membawa anak-anak ke sungai berendam lagi. Kali ini, di lokasi betul-betul hanya menyeberang jalan Pondok Impian. Dalam seminit dua berjalan kaki. Tak lama berendam kali ini, kerana sudah mahu bersedia untuk "check out". Itupun Mak sudah minta untuk keluar lambat dalam pukul 2:00 PM.
Selepas keluar, kami mencari makan tengahari pula sebelum masing-masing pulang. Makan tengahari di Warung Minang Sri Selera. Nasi putih, berlaukkan sup tulang, telur dadar, ulam-ulam dan ikan masin. sup tulang yang memang sedap! Banyak rempah agaknya, keruh betul air supnya.
Tiba di rumah, dalam jam 5:00 PM.
Letih, tapi puas kerana berjaya ke tempat baru. Mungkin ini akan menjadi satu-satunya trip keluarga tahun ini, kerana saya tak rasa akan berjalan jauh kemana-mana lagi sepanjang kehamilan ini. Perlu bersedia untuk ujian-ujian darah yang akan memungkinkan saya ditahan di wad untuk urusan pemindahan darah pula. Sejarah lepas, dalam kehamilan minggu ke-30.
Masih menaruh harapan agar saya tidak melalui itu semua.
0 Response to "Janda.Baik"
Post a Comment