Esok akan kembali ke pejabat selepas bercuti sejak Selasa.
Selasa, semasa temujanji di Hospital Putrajaya, selepas menilai bacaan jumlah Hb saya, sudahnya berkeputusan untuk saya dimasukkan ke wad bagi proses kemasukan darah. 2 pint jumlahnya.
3 hari 2 malam di hospital, Khamis saya kembali ke rumah. Cuti sehingga Jumaat.
Perubahannya, saya sudah tidak merasa debar, dan tidak rasa pitam bila berjalan melebihi 20 langkah. =)
Tapi mengah itu tetap ada. Itu saya kira biasa sejajar dengan pembesaran perut yang semakin memberat.
Kali ini, pemidahan darah dilakukan agak awal, iaitu pada minggu ke-26. Sewaktu kehamilan Cik.Aish, saya dimasukkan darah pada minggu kehamilan ke-36. Sewaktu kehamilan Cik.Airis pula, pada minggu kehamilan ke-30. Saya ada bertanya pada Dr. Elynda jika ada kemungkinan saya perlu dimasukkan darah lagi selepas ini. Katanya, bergantung kepada bacaan bilangan Hb selepas ini. Namun katanya, insya Allah saya boleh bertahan hingga ke saat melahirkan. Saya juga harap begitu.
Sepanjang bercuti, waktu tidur saya sering dihadirkan dengan mimpi hal kerja pejabat. Saya tahu saya tidak tenang meninggalkan pejabat dalam jangka waktu yang lama begini. En.Eid bising juga dengan perangai saya tak boleh lepas hal kerja. Tapi nak buat macam mana. Benda dah duduk dalam kepala. (>_<)
Saya mungkin cemas kerana saya akan mula cuti bersalin awal kali ini. Targetnya adalah dalam minggu kedua bulan Oktober, dan hanya mula akan kembali bekerja pada Januari 2014. Saya ada 2 bulan setengah lebih kurang untuk mengurus dan memantapkan kualiti kumpulan saya. Juga, saya perlu pastikan yang mereka akan pergi ke Jepun untuk kesinambungan projek seterusnya. Itu agaknya yang membuatkan saya tertekan sekarang.
Sakit kepala.
Baru selesai menyudahkan satu tugasan pejabat. Permintaan saat akhir seorang teman di "Project Team" pada petang Jumaat lepas.
Semakin lama, semakin lelah pula saya melayan karenah "counterpart" di Jepun sana. Projek sudah berlangsung lebih setengah tahun tanpa ada tanda mereka mahu menutup fasa 1 dan beralih ke fasa 2.
Alasan yang diberikan, kualiti servis di Malaysia tidak menyamai kualiti di Jepun dan mereka tidak akan menutup projek ini selagi kualiti kami tidak sama taraf dengan mereka.
Namun begitu, mengikut statistik, kami mempunyai kadar ketepatan data setinggi 99.5%, dan itu sepatutnya dikira peratusan yang amat tinggi mengambil kira "human error" sebagai peratusan yang tidak mencukupkannya kepada 100%. Tapi tidak pada Jepun di sana. Mereka menuntut 100% ketepatan!
Amboi!
Mereka pun tidak pernah capai kualiti servis begitu tinggi, tiba-tiba mahu menuntut pihak kami pula memberi kesempurnaan itu.
Saya sangat marah sepanjang minggu lepas. Jepun mula menge"log" isu-isu bulan-bulan lepas di dalam sistem log rasmi. Kemudian, semasa "conference call" Khamis lepas, mendakwa ada peningkatan kadar kesilapan dari pihak kami dengan hanya bergantung pada isu yang dilog pada sistem itu, sedangkan isu-isunya semua telah dibincangkan sebelum ini. Keji sungguh!
Tidak tahu saya apa yang menyukarkan mereka untuk menerima hakikat bahawa mereka perlu menyerahkan juga tugasan-tugasan itu ke kami. Tidak boleh berpatah balik, dan tiada cara untuk menggagalkannya!
Menyerah sahajalah, hendaknya.
(-_-;)
Susah untuk saya menetapkan berapa kali peluang harus diberi untuk memperbetulkan kesilapan.
Sekali? Dua kali?
Saya mungkin seorang yang sangat lembut hati serta mudah memaafkan, lantas membuka sahaja peluang untuk memperbaiki diri, tapi ahli-ahli kumpulan yang lain?
Kalau yang terkenal sabar dalam kumpulan ini pun sudah meninggi suara lantaran hilang sabar, saya tahu saya perlu lakukan sesuatu.
Biasanya, saya bertahan dengan "learning curve" walaupun mengambil masa yang panjang, asal sahaja ianya meningkat. Tapi yang seorang ini... Tiada peningkatan, malahan merudum pula. Alasannya, kerja yang banyak. Sedangkan bahagian kerja yang dilaksanakan seharian cuma 80% dari 8 jam waktu penuh bekerja. 20% selebihnya, masih dilaksanakan oleh rakan setugas lain sementelah dia masih belum stabil dengan kualiti kerja.
Saya mungkin dibutakan dengan budi bahasa yang ditunjukkannya, dan dia selalu bersedih hati andai ada sahaja kesilapan yang dilakukannya. Oh, kadang-kadang saya rasa terpedaya pula andai itu satu lakonan.
Setelah seminggu saya berfikir, saya kira saya perlu ambil tindakan. Ada beberapa pilihan, dan saya akan libatkan ahli kumpulan yang lain, kerana ini akan melibatkan mereka juga. Saya akan berikan pilihan yang ada, dan bincangkan pro-kontranya. Mungkin saya perlu kehilangan seorang ahli kumpulan ini, tapi lebih baik dari menyimpannya kerana risiko kualiti servis yang terlalu tinggi.
Letih saya malam ini, menyelesaikan 15 isu yang di"log"kan Jepun, berpunca dari ahli yang seorang ini!
Hilang sabar juga dibuatnya.
-_-!!